Translate

Tuesday, 9 September 2014

Penduduk Gaza terus jadi pelarian

Hampir 100,000 yang hilang rumah kediaman masih ditempatkan di sekolah tajaan PBB (09/09/2014)

Palestine - Israel

Gaza refugees
GAMBAR bertarikh 3 September lalu merakamkan sebahagian pelarian Palestin yang ditempatkan di sebuah sekolah tajaan PBB di Gaza City. - AGENSI

GAZA CITY 8 Sept. - Beribu-ribu penduduk Palestin di Genting Gaza masih tinggal di sekolah tajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang dijadikan pusat perlindungan, walaupun konflik Hamas-Israel sudah berakhir hujung bulan lalu.
Dalam lawatan ke sebuah sekolah di Gaza City, AP melaporkan, semua kelas dijadikan tempat tidur dan pakaian-pakaian disidai di dalam tempat belajar di sekolah itu.
"Hampir 100,000 penduduk Palestin di Gaza tidak mempunyai rumah setelah rumah mereka ranap dalam serangan Israel, dan sekolah milik PBB menjadi lokasi perlindungan mereka.
"Kerajaan tempatan berdepan kesukaran untuk menangani ma­salah itu memandangkan sesi persekolahan akan bermula dalam tempoh seminggu lagi," tambah laporan berkenaan.
Agensi berita AP melaporkan, serangan Israel selama tujuh minggu ke atas Gaza menyebabkan kemusnahan teruk di wilayah Palestin itu, menyaksikan beribu-ribu rumah ranap atau rosak teruk.
Jelas laporan berkenaan, projek pembangunan semula masih belum bermula ekoran sekatan yang dikuatkuasakan oleh Mesir dan Israel ke atas import bahan binaan dan simen, kerana rejim Zionis Israel mendakwa pergerakan Hamas akan menggunakan bahan tersebut untuk membina semula terowong dan roket.
Sementara itu, Barat mengancam untuk memulaukan kepimpinan Palestin jika bekas pegawai pergerakan Hamas masih menerima gaji.
Perdana Menteri Palestin, Rami Hamdallah berkata, beliau menerima amaran Barat akan menarik sokongan kepada kepimpinan Palestin, jika pihak berkuasa Palestin gagal menyelesaikan isu pemberian gaji kepada bekas pegawai Hamas.
Hamdallah yang mengetuai kerajaan Palestin di Tebing Barat dan Gaza bermula 2 Jun lalu, turut mengakui isu gaji itu menjadi masalah besar dan penghalang kepada pelaksanaan perjanjian damai antara kumpulan-kumpulan dalam Palestin termasuk antara Hamas dan Fatah.
Tambahnya, sejak menandatangani perjanjian perpaduan pada April lalu, Hamas menuntut kerajaan baharu Palestin mengambil tanggungjawab membayar gaji kepada 45,000 pekerja dan kira-kira 27,000 penjawat awam yang berkhidmat untuk Hamas yang memansuhkan pentadbirannya pada Jun lalu berikutan pembentukan kerajaan perpaduan itu.
Jika isu itu tidak diselesaikan, sistem perbankan Palestin akan berdepan masalah besar kerana dipulaukan oleh pihak antarabangsa terutamanya Barat.
"Kerajaan Palestin diberi amaran supaya tidak menyalurkan wang kepada mana-mana individu yang bekerja untuk Hamas selepas pergerakan tersebut disenarai hitam sebagai pertubuhan pengganas oleh Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.
"Rakyat Palestin bergantung kepada bantuan antarabangsa dan tindakan boikot itu boleh memberi kesan buruk kepada kewangan negara," katanya. - AP/AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140909/lu_03/Penduduk-Gaza-terus-jadi-pelarian#ixzz3CnqzUtjE

Related keywords: Israel news, Jerusalem post, Palestine Israel war, Gaza conflict

No comments:

Post a Comment