Translate

Monday, 15 September 2014

Persekolahan bermula di Gaza

Persekolahan bermula di Gaza (15/09/2014)

Palestine - Israel

School destroyed in Gaza
Sesi persekolahan di Gaza terpaksa ditangguhkan selama dua minggu berikutan kerosakan daripada serangan Israel. - AFP


GAZA CITY 14 Sept. - Kira-kira setengah juta kanak-kanak Gaza mula bersekolah hari ini, selepas sesi itu tertangguh selama dua minggu berikutan serangan Israel selama selama 50 hari mengorbankan lebih 2,100 rakyat Palestin dan memusnahkan beratus-ratus bangunan sekolah di sini.
Menteri Pendidikan Gaza, Ziad Thabet berkata, penangguhan tersebut melibatkan 230,000 pelajar dari gred satu sehingga gred 12 di sekolah-sekolah awam, 200,000 di sekolah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan puluhan ribu yang mendaftar di sekolah swasta.
Penangguhan itu dibuat ekoran kemusnahan sekolah-sekolah dan penggunaan sekolah PBB sebagai lokasi perlindungan kira-kira 50,000 pelarian yang masih menetap di situ, jelas Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).
Ziad berkata, tidak seperti tahun-tahun sebelum ini, minggu pertama sesi pembelajaran akan menyaksikan para pelajar diberikan bantuan kaunseling dan aktiviti rekreasi bagi membantu kanak-kanak dari tempoh peralihan kepada pembelajaran.
"Kami memberi latihan khas kepada lebih 11,000 orang guru serta 3,000 pengetua dan pentadbiran tentang bagaimana menguruskan pelajar selepas perang," katanya.
Sebanyak 26 buah sekolah musnah sepenuhnya sepanjang serangan Israel selama tujuh minggu itu, manakala 232 buah lagi rosak.
Pegawai Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), June Kunugi pula menyatakan kebimbangan mengenai pembiayaan kerajaan untuk pendidikan masih yang tidak jelas, dengan ketiadaan wang untuk perbelanjaan operasi sejak pembentukan kerajaan perpaduan awal tahun ini.
"Melabur dalam pendidikan adalah pelaburan untuk masa depan. Tanpa sokongan kuat dan komitmen kepada pendidikan dan perlindungan, seluruh generasi di Gaza akan hilang," katanya.
Sementara itu, UNHCR memaklumkan, pihaknya menyediakan 130,000 beg sekolah dan alat bantuan mengajar kepada sekolah kerajaan dan menjalankan program latihan kepada hampir 12,000 kaunselor sekolah, guru dan penyelia. - AGENSI

Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140915/lu_04/Persekolahan-bermula-di-Gaza#ixzz3DMZsgLMr

Related keywords: Israel news, Jerusalem post, Palestine Israel war, Gaza conflict

No comments:

Post a Comment